Penutupan antara lapangan terbang ambil kira jarak penglihatan juruterbang - DCA

Bernama
Oktober 5, 2015 21:48 MYT
Kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berhubung melalui telefon dalam keadaan ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 diselubungi jerebu hari ini. - Gambar Bernama
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan hanya mengarahkan pembatalan penerbangan atau penutupan sementara sesebuah lapangan terbang akibat jerebu selepas mengambil kira pandangan juruterbang dan jarak penglihatan di darat dan udara.
Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya memantau keadaan jerebu itu dari semasa ke semasa, dan arahan berkenaan akan dibuat jika jarak penglihatan kurang daripada 500 meter.
"Penutupan sementara sesebuah lapangan terbang adalah mengikut keadaan semasa dengan mengambil kira jarak penglihatan.
"Selain itu, pandangan juruterbang mengenai jarak penglihatan juga diambil kira kerana pandangan di darat dan udara berbeza," katanya kepada pemberita di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
Menurutnya lapangan terbang yang dilengkapi dengan sistem moden dan canggih seperti Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan Radar Pergerakan Permukaan (SMR) memudahkan pesawat membuat pendaratan.
Sebagai contoh, katanya, pesawat-pesawat yang memasuki KLIA adalah lebih besar dan dilengkapi sistem canggih yang membolehkannya membuat pendaratan ketika keadaan berjerebu.
"Pesawat yang menggunakan Visual Flight Rules (Peraturan Penerbangan Visual) pula tidak boleh terbang ketika keadaan jerebu bertambah buruk," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengulas langkah menghentikan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi lebih tiga jam hari ini berikutan jarak penglihatan rendah, menyebabkan beratus-ratus penumpang terkandas di terminal.
Malaysia Airports Berhad (Malaysia Airports) dalam Twitter mengumumkan penutupan landasan itu berkuat kuasa pada 8.20 pagi tadi selepas jarak penglihatan tidak lebih daripada 500 meter dicatatkan akibat jerebu.
Malaysia Airports kemudian membuat satu lagi pengumuman pada 11.40 pagi yang membenarkan operasi penerbangan disambung semula berikutan jarak penglihatan yang lebih baik.
#AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #i Sistem Pendaratan Instrumen #jerebu #KLIA #Radar Pergerakan Permukaan
;