Penurunan trend berpersatuan, belia cari platform untuk beraktiviti - Yusmah

Astro Awani
Mac 12, 2018 06:20 MYT
YUSMAH: Penurunan trend berpersatuan menyebabkan bilangan kelab belia sedia ada juga semakin hari semakin mengecil. - Gambar fail
Penurunan trend pertubuhan belia yang aktif akhir-akhir ini menjadikan ramai golongan muda tercari-cari arah dan platform untuk melakukan aktiviti sihat.
Timbalan Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sepang, Yusmah Indrawati Yusup berkata, ia sekali gus menyebabkan golongan muda tidak berminat untuk berpersatuan dan bilangan kelab sedia ada juga semakin hari semakin mengecil.
"Persatuan sebegini kebanyakannya bergerak setengah jalan dan sudah putus asa apabila masih belum mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
"Mereka tidak merujuk jabatan berkenaan untuk proses, bantuan atau perbincangan strategi untuk membangunkan persatuan.
"Bila mereka berpecah, tiada apa lagi yang ada. Sebab itu saya kata susah hendak cari persatuan belia yang benar-benar boleh bertahan kini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: TN50 kanvas baharu muatkan aspirasi bersama rakyat
BACA: Kerajaan BN adalah kerajaan untuk orang muda - Najib
Yusmah yang juga Presiden Kelab Beliawanis Sri Sepang turut mengakui menghadapi pelbagai cabaran sebelum kelabnya boleh benar-benar bertapak dan mendapat reaksi positif daripada masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, belia di negara ini mampu menjadi pencetus aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana peluang sedia ada membolehkan mereka melakar corak pembentukan Malaysia sepanjang 30 tahun akan datang.
Jelas Khairy, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan juga merupakan pendekatan yang unik kerana suara dan kehendak golongan belia akan dinilai untuk pembangunan negara.
Dalam perkembangan berkaitan Yusmah menjelaskan, kelabnya sentiasa membuka peluang kepada ahli–ahli untuk menyuarakan pendapat dan berbincang mengenai isu terkini.
"Ia dapat meningkatkan prestasi ahli–ahli dalam pelbagai aspek terutamanya menjadi beliawanis sebagai pemangkin dalam memajukan pelbagai aktiviti.
"Kita mahu ahli sentiasa aktif dan melibatkan diri dalam setiap aktiviti. Kita sentiasa fokus dan menyertai pelbagai program di peringkat dalam serta luar negara," ujarnya.
Pada tahun 2017, kelab itu mencatat kemenangan berganda di mana dinobatkan sebagai johan bagi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Selangor dan Kebangsaan.
Pada tahun yang sama juga, mereka diberi peluang untuk mewakili persatuan–persatuan di Malaysia ke Ten Accomplished Youth Organizations (TAYO) ASEAN Awards di Jakarta, Indonesia.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan peruntukan kewangan lebih besar kepada persatuan-persatuan belia yang aktif menganjurkan pelbagai program yang bermanfaat bagi golongan berkenaan.
Jelasnya, keutamaan diberikan kepada persatuan belia yang memenuhi kriteria penarafan yang bakal ditetapkan termasuk berbelanja secara berhemat dan berintegriti.
#ASEAN #Belia #Khairy Jamaluddin #Najib Razak #Transformasi Nasional 2050
;