Penurunan ketara jumlah pesakit kategori 3 hingga 5 di Sarawak bukti dos penggalak berkesan
Ridauddin Daud
November 30, 2021 21:03 MYT
November 30, 2021 21:03 MYT
KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan penurunan konsisten dan paling ketara dari segi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 Kategori 3 hingga 5 ke hospital awam berbanding negeri-negeri lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penurunan itu direkodkan sejak pelancaran program pemberian dos penggalak pada 13 Oktober 2021.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan JKJAV setakat 28 November 2021, Sarawak juga adalah negeri yang mempunyai jumlah kumulatif dos penggalak paling tinggi di Malaysia dengan 630,251 dos diikuti oleh Selangor (411,126 dos) dan Kuala Lumpur (236,024 dos).
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dos penggalak yang dapat melindungi individu dari jangkitan yang lebih teruk dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kes-kes COVID-19 kategori 3 hingga 5,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, meskipun 77.7 peratus rakyat Malaysia telah lengkap divaksinasi namun kajian terbaru mendapati tahap imuniti akan menurun selepas beberapa bulan divaksinasi.
“Oleh yang demikian, KKM menggesa agar individu yang layak dan telah mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.
“Teruskan lindungi diri anda untuk melindungi kita semua,” ujarnya.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan Sarawak menjadi negeri penerima dos penggalak paling tinggi di negara ini apabila 30.4 peratus populasi dewasanya telah menerima dos berkenaan setakat Sabtu lepas (27 Nov).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ia meliputi 602,180 penduduk dewasa di negeri itu.
"Sarawak merupakan negeri pertama melaksanakan dos penggalak dan dos tambahan bermula 13 Okt lalu, kadar sasaran pemberian dos penggalak bagi Sarawak ialah 2,042,700 individu," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.