Penurunan keberkesanan vaksin mungkin punca peningkatan kes di Sarawak - Khairy

Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2021 14:21 MYT
Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan penurunan kadar keberkesanan vaksinasi dalam kalangan penerima di Sarawak, antara punca berlakunya peningkatan kes di negeri itu. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan penurunan kadar keberkesanan vaksinasi dalam kalangan penerima di Sarawak, antara punca berlakunya peningkatan kes di negeri itu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana Sarawak antara yang cepat memberikan suntikan vaksinasi kepada penduduk di Bumi Kenyalang itu.
Bagaimanapun, faktor itu masih lagi dalam kajian dan KKM sedang meneliti semua aspek termasuk ancaman varian, tambah beliau.
"Kita masih lagi sedang kaji waning effect of the vaccination, maksudnya kesan vaksinasi itu mungkin sudah mula menurun dan perlu kepada suntikan penggalak untuk golongan tertentu.
"Sebab itu saya sudah umum, warga emas di Sarawak contohnya, akan ditawarkan dengan dos penggalak bulan ini," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Khairy (BN-Rembau) berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta penjelasan apakah terdapat varian selain Delta yang dikesan di Sarawak memandang berlaku peningkatan kes di negeri itu dan apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah tersebut.
BACA: COVID-19: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak - Khairy
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kementerian turut melihat kepada faktor lain seperti pembukaan sektor-sektor tertentu di negeri itu dan beberapa bahagian-bahagian yang lebih awal berbanding negeri-negeri lain.
"Selain itu, kita juga melihat kepada trend jangkitan. Masih lagi ada banyak kluster di Sarawak yang melibatkan rumah panjang, di mana tak dapat nak dikawal sekiranya berlaku kes-kes yang positif.
"Kita melihat kepada segala aspek bukan hanya itu, tetapi juga varian, jenis vaksin dan sebagainya. Kita akan membuat pendekatan yang sepatutnya untuk memastikan bahawa kadar jangkitan di Sarawak akan dapat diturunkan," ujar beliau.
Daripada jumlah 8,075 kes baharu yang direkodkan hari ini, Sarawak kekal sebagai negeri tertinggi iaitu sebanyak 1,189 kes.
Terdahulu, Khairy memaklumkan suntikan penggalak bagi vaksin COVID-19 akan mula diberikan pada bulan ini kepada penduduk Sarawak yang sudah menerima dua dos suntikan.
#Dewan Rakyat #Khairy Jamaluddin #Kes Sarawak #COVID-19
;