Penurunan harga rumah mampu milik Felda bukan hanya di Rompin - Razali Ibrahim
Haider Yutim
Mei 3, 2015 20:30 MYT
Mei 3, 2015 20:30 MYT
Penurunan harga bagi rumah di bawah projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) akan melibatkan semua kawasan Felda di seluruh negara, dan bukan hanya di Rompin.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim pada majlis pecah tanah projek PGBF di Keratong 10, hari ini.
“Kerajaan dalam menyediakan bantuan akan melibatkan kepada semua, sebab itu kita mengambil kemampuan kita bagi jumlah yang dah dibina dari segi semua tempat… tidak semestinya hanya di Rompin sahaja,” kata beliau pada sidang media selepas majlis tersebut.
Bagaimanapun katanya pihak kerajaan tidak mahu mengikat kepada harga yang sama kerana pada masa akan datang kos akan berubah kepada lebih tinggi atau rendah.
Beliau yang bertanggungjawab menjaga portfolio Felda itu berkata, keperluan generasi baru juga kemungkinan berubah, dan lebih bersedia untuk memiliki rumah yang asas berbanding rumah mewah.
“Yang penting ada rumah… dan kita akan bincang dengan semua pihak berkepentingan, berapa harga rumah yang mereka mampu untuk bayar dan apakah keperluan mereka.
“Tak guna buat rumah yang terlalu besar jika akhirnya mereka tak mampu memilikinya,” kata Razali yang juga Ahli Parlimen Muar (UMNO).
Selain itu, beliau juga menggesa sesetengah pihak agar tidak membandingkan rumah PGBF dengan rumah-rumah yang dijual di bawah Felcra, SPNB dan Baitulmal kerana kemudahan yang disediakan tidak sama.
Ditanya siapakah yang akan menanggung kos prasarana rumah PGBF sedangkan RM90,000 itu adalah harga kos, Razali berkata pihak kerajaan dan Felda akan menanggungnya.
“Kerajaan yang (akan) tanggung… banyak yang kerajaan tanggung dalam bab-bab ini.
“Selama ini pun banyak perkara tetapi sebab pengiktirafan kepada sokongan mereka, tak salah untuk Felda tanggung prasarananya sekali,” kata beliau lagi.
Hari ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin juga telah memaklumkan bahawa, harga RM90,000 bagi rumah generasi kedua berbanding RM125,000 akan dilaksanakan ke kawasan Felda seluruh negara dan bukan setakat hanya Rompin.
Bagaimanapun Menteri Pertahanan itu berkata, perkara itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk Razali sendiri.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan telah mengarahkan supaya harga rumah-rumah PGBF terutama di Parlimen Rompin, diturunkan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menyelami keluh kesah generasi baru serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula.
Menurut Najib, beliau telah mengarahkan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada untuk menawarkan harga baru rumah-rumah tersebut pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli.
Sejak diumumkan pada 2013, sebanyak 20,000 rumah PGBF dirancang untuk dibina dalam tempoh lima tahun yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion.
Menurut Razali, setakat ini sebanyak 8,570 buah unit sudah ditenderkan, di mana 2,150 buah unit akan disiapkan dalam tahun ini.
Katanya sebanyak 1,504 buah unit bagi kawasan Felda Rompin bakal dibina menjadikan parlimen itu penerima terbesar rumah PGBF.
Untuk makluman rakan media, pada 4 Mei 2015, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi akan melawat keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Duke jam 11.00 pagi. Mohon rakan-rakan media dapat hadir untuk membuat liputan terima kasih.