Penurunan cukai pintu ringankan bebanan peningkatan kos sara hidup rakyat Sarawak
Tan Su Lin
April 29, 2016 12:00 MYT
April 29, 2016 12:00 MYT
Hamdini Samsuddin, 40, berniaga kek lapis di Pasar Central Sibu untuk menyara isteri dan empat orang anaknya.
Tinggal di rumah teres di Sentosa, kira-kira 3 km dari bandar Sibu, dia membayar cukai taksiran kediaman sebanyak RM180 setahun.
Dengan peningkatan kos sara hidup, katanya langkah kerajaan negeri mengumumkan menurunkan kadar taksiran cukai kediaman baru-baru ini dapat mengurangkan beban tanggungannya.
"Saya amat bersetuju dengan penurunan kadar cukai kediaman sebab keadaan ekonomi sekarang susah. Hendak cari duit pun susah. Kalau kurangkan cukai pintu baguslah. Kalau RM100 lebih bayar satu tahun. Sekarang hanya bayar beberapa puluh sahaja," katanya sambil menambah wang yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk membayar bil elektrik atau perbelanjaan rumah yang lain.
Hamdini tergolong dalam kategori pembayar cukai taksiran berjumlah antara RM150.01 hingga RM200 setahun yang menikmati penurunan cukai sebanyak 70 peratus.
Selepas potongan cukai, dia kini hanya perlu membayar cukai pintu sebanyak RM54 setahun.
Khaizul Kamarulzaman, 31, pula menyifatkan pelaksanaan penurunan cukai berkenaan banyak membantu golongan berpendapatan rendah.
"Saya bersyukur sebab ia dapat memberi lebih manfaat kepada semua rakyat. Contohnya di kawasan pedalaman, kebanyakan yang duduk di rumah panjang adalah pembayar cukai taksiran di bawah RM50. Kalau mendapat potongan 100 peratus, ini dapat meringankan beban orang kampung," katanya.
Bagi Diana Anak Unjit, 32, wang daripada potongan cukai yang dapat dijimatkan itu dapat digunakan untuk perbelanjaan lain.
"Sebab sekarang harga barang semua naik, cukai GST (Cukai Brangan dan Perkhidmatan) pun sudah ada. Kini duit yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk beli barang lain seperti susu, lampin pakai buang," katanya.
Di bawah pelaksanaan kadar taksiran cukai kediaman baharu yang berkuatkuasa 1 Januari 2016, mereka yang membayar cukai taksiran sebanyak RM50 ringgit ke bawah kini tidak lagi perlu menjelaskan cukai selepas menikmati potongan sepenuhnya.
Manakala, sembilan lagi kategori kadar penilaian kediaman termasuk cukai taksiran tahunan antara RM50.01 hingga RM700 juga menerima potongan cukai dari 10 hingga 90 peratus.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada 15 Mac lalu mengumumkan pemansuhan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman di Sarawak berkuatkuasa serta merta.
Langkah penurunan kadar penilaian kediaman itu merupakan antara 50 inisiatif pentadbiran Adenan Satem meringankan beban rakyat.
Ketika ini sedang berlangsung Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.
Proses mengundi bagi memilih 80 anggota Dewan Undangan Negeri bakal berlangsung 7 Mei ini.
#Adenan Satem
#Barisan Nasional
#BN
#cukai
#PBB
#pilihan raya Sarawak
#PRN-11
#sarawak2016
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya