Penuntut USM maut jatuh dari tingkat lapan desa siswa

Astro Awani
April 26, 2022 14:56 MYT
Foto Lukman Hakim Mat Rani seperti yang diedarkan pihak polis. Mayat pelajar tersebut kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat.
GEORGE TOWN: Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan Desa Siswa Tekun, George Town, Pulau Pinang pada Isnin malam.
Mangsa, Lukman Hakim Mat Rani, 22 tahun, dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar di universiti berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.
"Mayat pelajar tersebut kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat dijalankan termasuk ujian saringan COVID-19.
"Pihak polis telah mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan mengambil keterangan mereka berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Soffian memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kematian pelajar tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
#penuntut USM #maut terjatuh #desa siswa #polis
;