Penuntut USAS lemas ketika berkelah bersama rakan di Air Terjun Batu Hampar
Abd Razak Mohd Ali
Jun 7, 2023 15:16 MYT
Jun 7, 2023 15:16 MYT
KUALA KANGSAR: Perkelahan sekumpulan 11 penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Air Terjun Batu Hampar Padang Rengas, dekat sini, hari ini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Arif Arsyad Md Salleh, 23, dipercayai lemas kira-kira 20 minit sebelum ketibaan anggota bomba dan dibawa naik oleh rakan-rakannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar telah dikejarkan ke lokasi.
“Anggota bomba telah melakukan teknik Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) kepada mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakaria tamat jam 12.43 tengah hari.