Penuntut UPSI maut, dua lagi parah kereta terbabas rempuh pokok

Aida Aziz
Januari 13, 2023 17:37 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis. - Foto JBPM
TANJUNG MALIM: Seorang penuntut perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut manakala dua lagi rakannya parah setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum merempuh pokok.
Nahas berlaku dekat susur keluar Tol Behrang, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini petang tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, terdapat lima orang yang menaiki kenderaan tersebut, dua daripadanya tidak mengalami kecederaan dan selamat.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.32 petang, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim digerakkan ke lokasi.
"Terdapat lima mangsa wanita berusia sekitar 20 tahun terbabit dalam kemalangan tersebut.
"Pemandu kereta itu disahkan maut oleh pihak hospital di lokasi kejadian, dua penumpang cedera parah dan dikeluarkan oleh pihak bomba manakala dua lagi penumpang selamat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis.
Mangsa yang cedera pula diberikan rawatan awal dan diserahkan kepada pihak ambulans hospital bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nazrul Saaidin itu tamat pada jam 3.38 petang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kemalangan tersebut meragut nyawa seorang pelajar UPSI, M Yoogavani, 20.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama-sama empat lagi rakannya yang juga pelajar UPSI sedang dalam perjalanan dari Batu Gajah menghala ke UPSI, Tanjung Malim.
Katanya lagi, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu pada jam 2.55 petang.
"Siasatan mendapati apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan terlanggar pokok.
"Akibat kemalangan itu pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi rakannya cedera dan dirawat di Hospital Slim River.
"Proses bedah siasat akan dijalankan selepas ujian COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#kemalangan maut #Behrang #Lebuhraya PLUS #bomba Tanjung Malim
;