Penuntut UPM dipatuk ular kapak ketika daki Gunung Tahan
Sinar Harian
Jun 28, 2024 14:17 MYT
Jun 28, 2024 14:17 MYT
LIPIS: Pendakian sekumpulan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) di Gunung Tahan bertukar detik cemas selepas seorang daripada mereka dipatuk ular kapak, dekat Kem Botak pada Khamis.
Ringkasan AI
- Seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Noraqilah Azmi, dipatuk ular kapak semasa pendakian di Gunung Tahan. Pendakian ini melibatkan 40 penuntut, dua jurupandu, seorang kakitangan Perhilitan, dan tiga ranger komuniti.
- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan dan menggerakkan dua anggota Moscar Merapuh dan pesawat udara untuk operasi penyelamatan.
- Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Bukit Bius, Lipis pada 9.55 pagi sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi rawatan lanjut.
Mangsa, Siti Noraqilah Azmi, 20, menyertai pendakian yang disertai 40 penuntut bersama dua jurupandu, seorang kakitangan Perhilitan dan tiga ranger komuniti bermula Selasa hingga Ahad ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa berjaya diselamatkan pada Jumaat.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.15 petang.
"Dua anggota Moscar Merapuh di Kem Kor diarahkan ke lokasi kejadian selain membuat permohonan bantuan pesawat udara.
"Pada 8.15 pagi ini (Jumaat), bantuan pesawat udara bomba dari Pengkalan Udara Wilayah Utara telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima krew," katanya.
Ujar beliau, pesawat berjaya tiba di lokasi kejadian untuk mengambil mangsa dan dibawa ke Bukit Bius, Lipis pada 9.55 pagi.
Jelasnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi rawatan lanjut. -Sinar Harian