Penuntut universiti luar negara lebih faham, konsisten sebar kekejaman Israel - IRIS

Faida Rahim
Mei 30, 2024 20:04 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berpendapat pelajar antarabangsa menzahirkan kemarahan mereka secara konsisten. - IRIS Institute
KUALA LUMPUR: Penuntut universiti di negara Barat dilihat lebih aktif dan konsisten menganjurkan demonstrasi membantah serangan Israel kerana memiliki pemahaman lebih luas mengenai kekejaman rejim Israel termasuk membentuk generasi prihatin terhadap isu-isu Palestin.

Ringkasan AI
  • Pelajar antarabangsa menzahirkan kemarahan mereka secara konsisten kerana melihat tindakan memboikot mampu memberi kesan secara langsung kepada dunia.
  • Golongan pelajar terutama yang beragama Islam harus lebih cakna dalam mengambil tahu mengenai konflik besar yang melanda Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berpendapat, pelajar antarabangsa menzahirkan kemarahan mereka secara konsisten kerana melihat tindakan memboikot mampu memberi kesan secara langsung kepada dunia.
"Mengapa dalam hal ini kita lihat gerakan pelajar di Barat lebih aktif dan konsisten? ... Kerana mereka bukan sekadar marah tetapi, yang kedua, mereka faham dan melihat depan mata sendiri betapa besarnya kesan menghalang ataupun memboikot perkara itu, apa kesan langsung kepada polisi negara mereka dan rejim haram Israel.
"Dan ini (gerakan seumpamanya) agak ghaib ataupun kurang di negara kita, yang mana saya lihat, kesedaran betapa berkaitnya dunia ekonomi hari ini jika menyekat atau mengenakan satu isyarat boikot ia pasti ia akan berkesan," katanya.
Syed Ahmad berkata demikian dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Khamis.
Tambahnya, golongan pelajar terutama mereka yang beragama Islam harus lebih cakna dalam mengambil tahu mengenai konflik besar yang melanda Palestin ketika ini kerana peperangan yang berlaku itu jelas menunjukkan penindasan dan pencabulan terhadap hak kemanusiaan yang berlaku di negara itu sejak 75 tahun lalu.
Menurutnya, penganjuran demonstrasi adalah sebahagian pendekatan pendidikan untuk membentuk generasi yang prihatin terhadap isu-isu semasa dan antarabangsa, termasuk menerapkan pemahaman nilai-nilai positif dan tidak mengetengahkan unsur-unsur yang mudah diberi persepsi radikalisme, ekstremis, atau keganasan.
#Israel #Palestin #Iris #Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim
;