Penuntut UniKL ditemukan lemas di Pantai Tanjung Rhu Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2023 15:05 MYT
Februari 19, 2023 15:05 MYT
LANGKAWI: Jasad seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di sini semalam berjaya ditemukan pada jam 1.24 tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, ditemukan terapung 50 meter dari pantai oleh pasukan penyelamat.
“Mayat mangsa disahkan ibu saudara dan sepupunya yang berada di pantai itu untuk pengecaman.
“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam kejadian jam 7 petang Sabtu mangsa dikatakan sedang mandi bersama rakan lain di Pantai Tanjung Rhu sebelum tiba-tiba lemas.
Rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana arus air kuat ketika itu.
Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor baru dua minggu berada di Pulau Langkawi untuk menjalani latihan amali.
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula jam 8 pagi tadi melibatkan seramai 69 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.