Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu
Adie Sufian Zulkefli
Februari 18, 2023 06:30 MYT
Februari 18, 2023 06:30 MYT
LANGKAWI: Seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, mangsa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20 tahun, berasal dari Batu 8 1/2 Jalan Jelai, Mukim Tajar, Langgar, baru dua minggu datang ke sini untuk menjalani latihan amali.
Menurutnya, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima laporan kejadian pada jam 7.20 petang, terdapat seorang lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu.
“Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai, tiba-tiba lemas.
“Rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana alun air kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 57 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Katanya, operasi ditangguhkan jam 12 tengah malam dan akan disambung pagi ini.