Penuntut UiTM maut selepas dikelar, sering diganggu suspek

Astro Awani
Februari 3, 2015 17:45 MYT
Menurut bapa Nursyuhada, suspek sering mengganggu ketenteraman anak perempuannya itu. - Gambar Paparan Skrin Astro AWANl
Jenazah pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang yang maut dikelar seorang kenalan lelakinya di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan tengah hari semalam telah selamat dikebumikan hari ini.
Nursyuhada Johari, 20, disembahyangkan di Masjid Kampung Cherok Mokkan, Jitra sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di kampung itu di sini pada jam 10 pagi tadi.
Bapa mangsa, Johari Hashim, 55, berkata beliau kesal di atas tragedi yang menimpa anaknya itu.
Katanya, anaknya mengenali suspek sejak menuntut di Tingkatan Lima dan dipercayai memang wujud ketegangan antara anaknya dengan suspek berikut.
Malah, satu laporan polis juga pernah dibuat berhubung perangai suspek yang sering mengganggu ketenteraman anaknya.
Menurut Johari, pada hari kejadian rakan anaknya sempat menghubungi keluarganya untuk memberitahu situasi yang sebenar.
“Anak saya tidak menelefon saya tapi saya difahamkan yang beliau keluar bersama temannya. Kawannya memberitahu saya, suspek itu telah memaksa anak saya untuk mengikutnya atau jika tidak dia akan ditikam. Lelaki itu membawa bersamanya sebilah pisau dan telah memaksa anak saya menaiki kereta bersama-samanya.
“Setelah mengetahui kejadian itu, saya terus menelefon ibu lelaki itu untuk memberitahu apa yang telah berlaku dan memintanya untuk menghantar anak saya pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, bapa suspek tersebut menghubungi saya sendiri untuk memberitahu yang anak saya telah ditikam,” kata Johari.
Nursyuhada merupakan pelajar tahun satu UiTM Pulau Pinang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
#jenazah #kelar #lelaki #maut #Nursyuhada Johari #pelajar #UiTM
;