Penuntut terkejut positif morfin gara-gara minum tepung protein
Astro Awani
Disember 28, 2017 12:13 MYT
Disember 28, 2017 12:13 MYT
Seorang penuntut tahun akhir sebuah universiti awam di utara tidak menyangka tindakannya mengambil makanan tambahan kesihatan untuk menguatkan tenaga ketika bersenam sejak sebulan lalu mengundang padah.
Ia apabila hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis morfin.
Penuntut lelaki berusia 23 tahun itu ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Anti Sempadan Bukit Kayu Hitam ketika memandu kereta seorang diri sewaktu dalam perjalanan pulang dari negara jiran kira-kira jam 7 petang semalam.
Dia mendakwa tidak pernah mengambil dadah atau ubat batuk sebelum ini yang menyebabkan dia khayal dan berada di bawah pengaruh dadah cuma mengamalkan pengambilan produk protein dalam makanan tambahan kesihatan yang dibelinya di sebuah pusat kesihatan sejak sebulan lalu.
Katanya, dia hanya ambil produk itu ketika hendak bersenam tetapi tak sangka ia memberi kesan pada dirinya dan positif dadah jenis morfin.
Dia mengakui tidak pernah masuk kelab malam ketika melancong di Hatyai, Thailand atau mengambil dadah dan disebabkan itu dia terkejut bagaimana dia boleh sangkut dadah jenis morfin.
Sementara itu, menurut Ketua Unit Anti Dadah Sempadan Bukit Kayu Hitam, Megat Rodzep Megat Teh, pelajar terbabit ditahan untuk diambil keterangan.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai terutama ahli bina badan dan yang minat bersukan supaya mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan terbeli produk salah yang mengandungi dadah sehingga memberi kesan kepada individu terbabit.
"Operasi ini akan berterusan dari masa ke semasa dan tujuan kita hanyalah untuk membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan rakyat tempatan dan luar
"Berdasarkan siasatan dilakukan, kebanyakan yang ditahan mengunjungi negara jiran hanya untuk berhibur dan ketika itu mereka mengambil dadah di sana," katanya.
Operasi selama dua hari bermula kelmarin turut dibantu pegawai AADK dari Putrajaya, AADK Pendang, Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar/Pokok Sena yang bermula jam 6 pagi berakhir kira-kira 12 tengah malam.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.
ARTIKEL BERKAITAN: