Penuntut politeknik maut digilis kereta
Sharom Abu Bakar
Februari 7, 2020 17:18 MYT
Februari 7, 2020 17:18 MYT
Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin ( PSMZA ) maut digilis kereta selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya.
Kemalangan berlaku di Jalan Lapangan Terbang, berhampiran Kampung Sura Hujung, di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada Jumaat.
Mangsa, Muhammad Aiman Zamri , 20, penuntut jurusan diploma kejuruteraan elektrik dan elektronik meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurut Baharudin, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah sewanya di Kampung Batu Enam untuk makan tengah hari di kafeteria Universiti Teknologi Mara ( UiTM).
Baharudin berkata, setiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang kereta Perodua Kancil mengakibatkan mangsa terjatuh di tengah jalan raya.
Dalam masa sama, kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah bertentangan gagal mengelak lalu menggilis mangsa.
Anggota perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah..
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat .
#Jalan Lapangan Terbang
#Kampung Sura Hujung
#kemalangan
#maut digilis kereta
#penuntut politeknik
#Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin