Penuntut Malaysia ditemui mati dalam bilik sewa di Surabaya

Bernama
November 22, 2016 18:00 MYT
Abdul Mu'izz Rusli, 19, penuntut tahun pertama Jurusan Bimbingan dan Kaunseling Islam, didapati tidak sedarkan diri semasa dikejutkan rakannya. - Gambar hiasan
Seorang penuntut Malaysia di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya, dijumpai mati di dalam bilik di rumah sewanya berhampiran kampus universiti itu hari ini.
Abdul Mu'izz Rusli, 19, penuntut tahun pertama Jurusan Bimbingan dan Kaunseling Islam, didapati tidak sedarkan diri semasa dikejutkan rakannya supaya bangun menunaikan solat Subuh.
Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Mohamad Hidayat Mohamad Saufi berkata rakannya juga mendapati mulut Abdul Mu'izz, yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak, berbuih selain adanya kesan luka kecil pada bahagian kepalanya.
"Selepas dibawa ke hospital berhampiran, doktor mengesahkan Abdul Mu'izz meninggal dunia kira-kira 2 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Polis menyifatkan kematian penuntut itu sebagai kematian biasa dan tiada unsur jenayah.
Mohamad Hidayat berkata keluarga Abdul Mu'izz telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Mereka yang dalam perjalanan ke Surabaya juga meminta supaya jenazah Allahyarham dikebumikan di Surabaya," katanya. -- Bernama
#Abdul Mu'izz Rusli #Surabaya #Universiti Islam Negeri Sunan Ampel
;