Penuntut kolej jururawat hilang dijumpai di Johor
Bernama
Mac 25, 2024 18:37 MYT
Mac 25, 2024 18:37 MYT
KOTA BHARU: Penuntut Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Nor Diana Mohd Najib yang dilaporkan hilang sejak 29 Feb lepas ditemukan selamat di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor.
Ibunya Maznah Ismail, 44, berkata Nor Diana, 21, didapati tinggal bersama kakak angkatnya yang dikenali sebagai Ika sebelum dijemput polis dan ahli keluarga kira-kira 3.50 pagi tadi.
"Melalui bantuan polis, kami sudah membawa Nor Diana pulang ke rumah anak saudara di Johor dan akan bertolak pulang ke Kelantan petang ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Maznah berkata sejak dijumpai, anaknya kelihatan murung dan banyak berdiam diri serta tidak seceria seperti sebelum ini.
Menurutnya, Nor Diana yang juga penuntut tahun satu Diploma Kejururawatan memaklumkan keluarga tidak memahami situasinya yang mahu berhenti belajar dan ingin bekerja.
"Kami pelik kerana selama ini Nor Diana tidak pernah mengadu masalah semasa belajar, malah pengajian itu pula ialah pilihannya sendiri tanpa ada sesiapa memaksa," katanya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana Nor Diana telah ditemukan sekali gus dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri ini.
Media sebelum ini melaporkan penuntut ILKMM Kampus Alor Setar, Kedah itu sepatutnya pulang ke rumah keluarga di Perumahan KTMB Tumpat ketika cuti pertengahan semester, namun tidak berbuat demikian dan gagal dikesan keluarga.
-- BERNAMA