Penuntut IPT parah ditikam rakan lelaki di dalam kampus
Adie Sufian Zulkefli
Mac 17, 2025 18:40 MYT
Mac 17, 2025 18:40 MYT
Keadaan di lokasi kejadian di mana mangsa cedera parah setelah ditikam berulang kali oleh suspek di hadapan perpustakaan kampus universiti. -Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang penuntut perempuan sebuah universiti, di sini, cedera parah dipercayai ditikam rakannya dalam satu kejadian di hadapan perpustakaan kampus universiti berkenaan pagi tadi.
Ringkasan AI
- Seorang penuntut perempuan berusia 19 tahun cedera parah akibat ditikam berulang kali oleh rakan lelaki yang didakwa bekas teman lelakinya di hadapan perpustakaan kampus universiti.
- Suspek turut mengalami kecederaan di tangan ketika bergelut dengan mangsa dan telah ditahan polis sejurus selepas kejadian.
- Polis sedang merakam keterangan suspek dan akan membawanya untuk proses reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun cedera parah di bahagian belakang badan akibat ditikam berulang kali oleh suspek juga berusia 19 tahun sebelum rebah dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Difahamkan mangsa masih berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Kejadian yang membabitkan dua pelajar asasi universiti itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan bersama beberapa orang kawan ke perpustakaan.
Mangsa dikatakan dihampiri oleh suspek, yang didakwa bekas teman lelakinya, sebelum dia bertindak menikam belakang badan mangsa berulang kali menyebabkan mangsa rebah.
Suspek turut mengalami kecederaan di tangan ketika bergelut dengan mangsa sebelum dia dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik di dalam kampus.
Difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan hubungan mereka yang terjalin sejak sama-sama belajar dan tinggal di Butterworth lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian dan berkata suspek telah ditahan polis sejurus selepas kejadian.
"Susulan laporan kejadian dibuat pihak keselamatan universiti berkenaan pagi tadi, polis berjaya menahan suspek semasa dia mendapatkan rawatan di klinik kampus berkenaan.
"Polis sedang merakam keterangan sebelum membawanya untuk proses reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan mengguna senjata berbahaya," katanya.