Penuntut IPT maut, rakan cedera parah dalam kemalangan
Bernama
Oktober 9, 2018 11:01 MYT
Oktober 9, 2018 11:01 MYT
Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) maut manakala rakannya parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM375.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mualim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata dalam kejadian pukul 11.25 malam itu, wanita berusia 20 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova maut di lokasi kejadian.
"Rakannya juga berusia 20 tahun mengalami cedera parah kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala dua lagi pemandu kereta Mercedes Benz dan Proton Exora masing-masing berusia 52 tahun tidak cedera.
"Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wan Kamarul Azran, siasatan mendapati, dipercayai MPV dinaiki dua pelajar itu terbabas sendiri dan berpusing kemudian berhenti secara melintang di lorong tengah.
Katanya pemandu kereta Mercedes Benz dan Proton Exora dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV itu.
"Keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, hanya laluan gelap kerana tiada lampu jalan," katanya, dan menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
#Hospital
#Ipoh
#IPT
#kemalangan
#Lebuhraya Utara Selatan
#mangsa
#maut
#mayat
#pelajar
#PLUS
#Seri Iskandar
#shah alam
#siasatan
#Wan Kamarul Azran Wan Yusuf