Penuntut IPT benar akaun bank diguna sindiket penipuan berdepan tindakan undang-undang

Bernama
Ogos 10, 2024 19:30 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penuntut institusi pengajian tinggi yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan berdepan tindakan undang-undang. - Foto BERNAMA
KULIM: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penuntut institusi pengajian tinggi yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan berdepan tindakan undang-undang.

Ringkasan AI
  • Pelajar universiti yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  • Pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan membolehkan tindakan diambil terhadap pemilik akaun yang digunakan sindiket.
  • Kes penipuan dalam talian semakin meningkat, dan kerajaan memperluas kempen kesedaran serta membolehkan polis membekukan akaun yang terlibat.

Beliau berkata berdasarkan pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang diluluskan baru-baru ini, tindakan boleh diambil terhadap pemilik jika membenarkan akaun dan instrumen pembayaran mereka digunakan oleh sindiket.
"Ada kes yang kami siasat melibatkan pelajar universiti yang membenarkan akaun bank mereka dan instrumen pembayaran serta kad bank digunakan oleh sindiket penipuan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sua Mesra bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Koperasi Mukim Sidam Kanan, Kampung Guar Lobak, Padang Serai dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan aduan, terdapat peningkatan kes penipuan dalam talian dan pihaknya akan memperluas hebahan serta kempen kesedaran kepada rakyat agar tidak menjadi mangsa.
"Saya tidak perlu ada sindrom penafian mengenai hal itu... trend memang meningkat berdasarkan aduan yang diterima... sebab itu, langkah yang dibuat satu daripadanya ialah menerusi pindaan Kanun Keseksaan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah pula membolehkan seorang polis berpangkat sarjan yang menerima aduan mengenai jenayah penipuan dalam talian membabitkan akaun bank boleh bertindak membekukannya.
Sementara itu, beliau berkata Program Sua Mesra bersama KDN adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memudah dan mempercepat rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
Antara aktiviti program itu ialah pemberian diskaun 50 peratus bagi saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, Jom Exchange al-Quran, Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang, gimik Pelepasan Kembara Jiwa Merdeka dan Pameran KDN serta agensi di bawahnya.
Saifuddin Nasution turut melancarkan SKUAD Antidadah Cawangan Padang Serai iaitu yang pertama ditubuhkan mengikut kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai usaha menambah baik entiti pengurusan badan sukarelawan itu.
-- BERNAMA
#penuntut IPT #pelajar universiti #benar akaun bank diguna sindiket penipuan #Saifuddin Nasution Ismail
;