Penuntut dikhuatiri lemas di Sungai Perak selepas selamatkan adik

Abd Razak Mohd Ali
Mei 26, 2021 10:14 MYT
Operasi mencari dan menyelamat penuntut yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak diteruskan pagi ini. - Foto JBPM Perak
HUTAN MELINTANG: Seorang penuntut dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak bersama adiknya, di Kampung Tebing Rebak, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, lelaki berusia 21 tahun, dikatakan dihanyutkan arus deras selepas dipercayai menyelamatkan adiknya yang hampir lemas.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.45 petang.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati seorang mangsa dipercayai telah lemas di Sungai Perak.
“Mangsa hilang setelah menyelamatkan adiknya yang dipercayai lemas ketika itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri mengesahkan kejadian ketika dihubungi.
Menurutnya, kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai hanyut dalam arus deras ketika mandi di sungai tersebut kira-kira jam 5.30 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan mangsa,” katanya malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi pula berkata, operasi SAR yang turut melibatkan penduduk kampung, diteruskan sehingga pagi ini.
“Mohon doa bersama-sama agar segalanya dipermudahkan serta sentiasa di dalam perlindungan Allah,” katanya menerusi laman Facebook miliknya pagi ini.
#lemas #Melayu #bomba #Ahmad Adnan Basri #sungai perak #arus deras #selamatkan adik #mandi sungai #Hutan Melintang #Hilir Perak #JBPM Perak #penuntut #pelajar
;