Penunggang parah langgar MPV buat 'u-turn'

Sinar Harian
Disember 30, 2022 00:00 MYT
Seorang lelaki parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah MPV dalam kejadian di Jalan Mata Ayer-Jejawi, pada Khamis. - Foto Ihsan PDRM
ARAU: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Jalan Mata Ayer-Jejawi, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, lelaki berusia 30 tahun itu cedera pada bahagian muka dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi.
Ahmad Mohsin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan motosikal dinaiki mangsa dan sebuah MPV jenis Nissan Grand Livina dari arah Mata Ayer menghala Jejawi.
"Selepas melepasi jejambat di Mata Ayer, pemandu MPV berusia 42 tahun membelok ke sebelah kanan secara tiba-tiba dipercayai untuk membuat pusingan U.
"Ia menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat dan melanggar bahagian sisi kanan hadapan MPV itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, lokasi kejadian merupakan laluan garisan berkembar dan tidak dibenarkan membuat sebarang pusingan U.
Menurutnya, penunggang motosikal cedera parah di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu MPV hanya mengalami luka di tangan kiri.
Tambah Ahmad Mohsin, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #u-turn #Jalan Mata Ayer-Jejawi #parah langgar MPV