Penunggang parah jatuh lubang kumbahan
Astro Awani
Jun 25, 2018 13:00 MYT
Jun 25, 2018 13:00 MYT
Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila terbabas dan terjatuh bersama motosikalnya ke dalam sebuah lubang kumbahan sedalam enam meter di Jalan Timur 12, Taman Keramat malam tadi.
Insiden pada jam 10.56 malam itu turut disaksikan orang awam.
Mereka yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Zaidey Zainudin, 46 tahun, dan segera menghubungi pihak bomba.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Keramat bergegas ke lokasi kejadian.
Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dengan menggunakan tangga dan tali untuk menarik mangsa.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd Syafiq Mohd Sobri, berkata lubang yang sedang dibina itu tidak ditutup dan juga tidak berlampu lalu membahayakan kenderaan yang melalui jalan tersebut.
"Sudah dua hari lubang ini tidak ditutup dan juga tiada apa-apa penghadang keselamatan. Di sini juga tiada lampu jalan ketika malam dan mangsa jatuh ketika hujan.
"Risau jika ada budak-budak yang lalu di sini sebab ini jalan utama. Rumah saya di depan jalan sahaja, takut juga," katanya ketika ditemui.
Susulan kejadian, Muhammad Zaidey dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.