Penunggang p-hailing disamun dua lelaki warga asing

Sinar Harian
Februari 1, 2022 04:32 MYT
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.
SHAH ALAM: Seorang penunggang p-hailing menempuh detik mencemaskan apabila disamun dua lelaki dipercayai warga asing ketika menunggang motosikal di Seksyen 25 Taman Sri Muda pada Selasa
Mangsa seorang wanita berumur 29 tahun itu dipercayai dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati ketika mangsa sedang menunggang motosikal, mangsa didatangi dua individu menaiki sebuah motosikal.
"Salah seorang suspek kemudian bertindak menghalang laluan mangsa seterusnya menarik gelang di tangan mangsa mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis berkaitan kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa berseorangan ketika kejadian dan gelang tangan emas yang disamun dianggarkan bernilai RM1800.
"Suspek dua lelaki disyaki warganegara Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal Yamaha LC warna merah memakai topi keledar masing-masing warna biru dan merah serta memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#penunggang p-hailing #samun #warga asing #Polis Daerah Shah Alam
;