Penunggang motosikal terbabas, meraung kaki tertusuk besi longkang
Adie Sufian Zulkefli
Februari 17, 2020 22:03 MYT
Februari 17, 2020 22:03 MYT
Seorang lelaki cedera di kaki kanannya akibat tertusuk besi longkang selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam longkang di Jalan Bukit Puteri, Puteri Jaya, Sungai Petani.
Dalam kejadian jam 7.30 malam Isnin, mangsa Ahmad Radhi Bashiran, 20, yang menunggang motosikal Yamaha RXZ itu seorang diri diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.47 malam berhubung kemalangan itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani tiba di lokasi mendapati mangsa sedang mengerang kesakitan akibat tusukan besi di kakinya itu.
Anggota JBPM terpaksa memotong besi itu menggunakan alat pemotong khas, sebelum mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk tindakan lanjut.
#bomba dan penyelamat
#JBPM
#kaki tertusuk besi
#mangsa kemalangan
#motosikal terbabas
#penunggang motosikal