Penunggang motosikal rentung dalam kemalangan dengan lori
Adie Sufian Zulkefli
Disember 27, 2023 23:51 MYT
Disember 27, 2023 23:51 MYT
KUBANG PASU: Seorang penunggang motosikal rentung selepas motosikal yang ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima maklumat kemalangan itu pada jam 5.45 petang membabitkan sebuah lori dengan sebuah motosikal.
Menurut Rodzi, penunggang motosikal berkenaan disahkan maut dalam kejadian tersebut.
"Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian kerana masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.36 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam seramai lapan anggota tiba di lokasi untuk melakukan penyelamatan.
"Pasukan Keluaran Operasi melaporkan berlaku kebakaran membabitkan sebuah motosikal akibat kemalangan.
"Mangsa dipercayai seorang lelaki ditemui rentung dengan kesan melecur sebanyak 60 peratus dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian," katanya.
Zulkifli berkata, anggotanya kemudian melakukan pemadaman menggunakan dua aliran saluran air dari jentera bomba.
Beliau memaklumkan, api berjaya dikawal dan peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 100 peratus.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya lagi.