Penunggang motosikal patah kaki langgar babi lintas jalan
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 22, 2022 22:12 MYT
Jun 22, 2022 22:12 MYT
KEPALA BATAS: Seorang pekerja kilang cedera selepas motosikalnya terlanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 121.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bertam, Kepala Batas.
Dalam kejadian jam 4.15 petang Selasa itu, mangsa berusia 43 tahun patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Tol Sungai Dua menghala ke Sungai Petani.
"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba seekor babi telah melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa gagal mengelak dan terlanggar babi tersebut
"Mangsa mengalami kecederaan di kaki sebelah kanan dan dikejarkan ke Hospital Swasta di Sungai Petani, Kedah untuk rawatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Terdahulu, tular rakaman kejadian berkenaan yang memaparkan mangsa terduduk menahan kesakitan sambil dibantu beberapa penunggang motosikal lain, manakala babi yang dilanggar pula telah mati.