Penunggang motosikal meninggal dunia selepas 13 jam bertarung nyawa

Sinar Harian
April 15, 2024 14:30 MYT
Kejadian kemalangan di Jalan Pulai-Kuala Tuang berhampiran SMK Tengku Indera Petra 2. -Gambar fail/Sinar Harian
GUA MUSANG: Seorang operator kilang yang terlibat kemalangan di Jalan Pulai-Kuala Tuang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2 di sini pada Ahad meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir 13 jam.
Mangsa berusia 30 tahun itu meninggal dunia jam 2 pagi, Isnin.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah pacuan empat roda dengan motosikal jenis Y-15RZ.
"Semasa kejadian mangsa menghala ke arah Kuala Lumpur melalui jalan Pulai. Setiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa telah merempuh bahagian belakang kenderaan itu.
"Kenderaan itu menghala ke arah yang sama. Akibat pelanggaran itu mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, sekitar jam 2 pagi pada Ahad, kakak mangsa telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang memaklumkan adiknya sudah meninggal dunia.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian
#operator kilang #SMK Tengku Indera Petra 2 #Jalan Pulai-Kuala Tuang #penunggang motosikal
;