Penunggang motosikal maut tertimbus tar yang dibawa treler
Bernama
Jun 6, 2024 11:50 MYT
Jun 6, 2024 11:50 MYT
IPOH: Seorang penunggang motosikal maut akibat tertimbus oleh timbunan tar yang dibawa sebuah treler, selepas muatan tar itu terjatuh daripada treler berkenaan apabila kenderaan berat itu terbabas di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar dekat Kampar malam tadi.
Kejadian berlaku semasa Hanapiah Ismail, 59, yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Kampar sedang menunggang motosikalnya, kira-kira 10 meter di belakang treler yang membawa muatan tar itu kira-kira pukul 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata ketika sampai di lokasi kejadian, penyambung muatan treler yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun itu mengalami kerosakan, dan treler itu hilang kawalan sebelum terbabas.
"Ia mengakibatkan muatan yang dibawa terbalik di atas jalan dan menimbus penunggang motosikal yang berada di belakang kenderaan berat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dan mayat Hanapiah, yang merupakan penghulu Mukim Teja telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
"Proses bedah siasat telah selesai dilakukan malam tadi dan saya dimaklumkan jenazah telah dituntut oleh waris mangsa 9 padi tadi bagi urusan pengebumian. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Difahamkan kemalangan berlaku semasa arwah dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Daerah dan Tanah Kampar di sebuah hotel di Ipoh.
Sementera itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 8.02 malam.
Beliau berkata penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dia dikeluarkan dari timbunan tar oleh anggota bomba.
"Operasi dengan 13 kekuatan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zahuri Zainal Abidin itu ditamatkan pada pukul 8.50 malam," katanya.
-- BERNAMA