Penunggang motosikal maut rempuh belakang kereta

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 2, 2019 14:44 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar belakang sebuah kereta di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, pada Rabu petang.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa Meor Muhammad Syamsul Amir Imran Zulkifli, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, ketika kejadian, kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama, iaitu dari Medan Gopeng ke Simpang Pulai.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut telah terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan penunggang tercampak ke jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat.
Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan #Hospital Raja Permaisuri Bainun #Jalan Raja Dr Nazrin Shah #kemalangan motosikal #Ketua Polis Daerah Ipoh #langgar belakang kereta #Medan Gopeng #Meor Muhammad Syamsul Amir Imran Zulkifli #simpang pulai