Penunggang motosikal maut nahas, orang ramai diminta tampil salur maklumat
Aida Aziz
Mac 9, 2024 08:00 MYT
Mac 9, 2024 08:00 MYT
IPOH: Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer (KM) 45 Jalan Ipoh-Lumut.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt. Hafezul Helmi Hamzah, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6 Mac, Rabu lalu sekitar 10 malam.
"Kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki yang merupakan penunggang motosikal itu berlaku di Jalan Ipoh-Lumut arah Lumut.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 50 tahun itu bergerak dari Ipoh ke Manjung.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai terbabas dan terjatuh ke sebelah kanan jalan.
"Susulan kemalangan itu, mangsa meningga dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Insp. Nur Muhammad Aizat Abdullah di 017-7041317 atau 05-3712222.