Penunggang motosikal maut hilang kawalan, dilanggar lori
Sinar Harian
Julai 21, 2024 08:40 MYT
Julai 21, 2024 08:40 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya yang membonceng kenderaan itu cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 14.6 Lebuhraya Pasir Gudang pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 3.45 petang ketika mangsa berusia 17 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bersama rakannya dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pasir Gudang.
“Setibanya ke lokasi, mangsa yang menunggang di antara lorong kanan dan lorong tengah bergesel dengan satu motosikal lain di hadapannya.
“Akibatnya, mangsa hilang kawalan, terjatuh di lorong tengah lebuh raya berkenaan dan dilanggar oleh sebuah lori.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi sementara rakannya berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail bagi menerima rawatan,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, polis sedang mengesan saksi berkait kemalangan berkenaan untuk tampil memberikan keterangan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nitheish di talian 011-21633214 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian