Penunggang motosikal maut gagal potong lori

Sinar Harian
Disember 26, 2022 07:00 MYT
Keadaan motosikal mangsa susulan nahas dengan SUV di Kilometer 26, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk pada Isnin. -Foto Sinar Harian
GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal maut bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas dipercayai gagal memotong sebuah lori di Kilometer 26, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk di sini pada Isnin.
Mangsa, Md Zulfikal Ami Abdul Rahman, 31, maut di lokasi dalam kejadian jam 9.05 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Laloh, Kuala Krai ke Gua Musang.
"Setiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.
“Bagaimanapun, mangsa gagal memotong lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, susulan itu motosikal jenis Y15 yang ditunggang mangsa bertembung dengan SUV dari arah bertentangan.
Menurutnya, SUV jenis Honda CR-V itu sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Pasir Puteh dan pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian
#penunggang motosikal maut #gagal memotong lori #Md Zulfikal Ami Abdul Rahman #Jalan Gua Musang-Kuala Krai
;