Penunggang motosikal maut dirempuh kereta sedang memotong

Adie Sufian Zulkefli
April 29, 2023 09:00 MYT
Akibat motosikalnya dirempuh Perodua Myvi, mangsa (gambar kecil) tercampak ke bahu kiri jalan manakala pemandu kereta itu hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi di kiri jalan. - Foto ihsan PDRM
BALING: Seorang pekerja syarikat keselamatan maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Bandar, Jalan Baling-Weng, dekat sini, malam tadi.
Mangsa, Ahmad Halime Yusof, 56 tahun, berasal dari Kampung Bechah Sawa Mukim Siong, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Baling menghala ke Tanjung Pari.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan tetapi tidak lepas lalu merempuh mangsa.
“Akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak ke bahu sebelah kiri jalan manakala pemandu Myvi itu hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Shamsudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#pekerja keselamatan #kemalangan maut #penunggang motosikal maut #Baling
;