Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

Aida Aziz
Jun 3, 2021 20:44 MYT
Difahamkan mangsa, seorang warga emas dalam lingkungan usia 67 tahun itu maut di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM
TANJUNG MALIM: Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang berdekatan lampu isyarat Taman Universiti, Tanjung Malim, di sini petang tadi.
Difahamkan mangsa, seorang warga emas dalam lingkungan usia 67 tahun itu maut di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku pokok tumbang yang telah menghalang jalan raya dan menghempap penunggang motosikal jenis Honda EX5.
"Seorang mangsa dihempap pokok telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya lagi, anggota yang terlibat kemudiannya membuat kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok tersebut dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) sehingga selesai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.32 petang.
#penunggang motosikal maut #dihempap pokok #Pokok tumbang #Taman Universiti #Tanjung Malim #JBPM #bomba #angkatan pertahanan awam
;