Penunggang motosikal maut digilis lori ketika konvoi ke Cameron Highlands
Aida Aziz
Disember 11, 2022 20:35 MYT
Disember 11, 2022 20:35 MYT
SIMPANG PULAI: Seorang penunggang motosikal maut digilis di bahagian kepala dalam kejadian kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Nor Jen, 47, dikatakan bersama-sama konvoi motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohamad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.49 tengah hari.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan muatan kosong dengan sebuah motosikal jenis Yamaha MZ 150.
"Difahamkan ada 40 buah motosikal yang mengikuti konvoi tersebut, dalam kemalangan itu mangsa digilis di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dalam kemalangan itu, ada seorang lagi penunggang motosikal berusia sekitar 50 tahun cedera ringan kerana terbabas susulan berada di belakang mangsa yang maut... dia brek dan menggelongsor," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, anggota bomba mengambil masa lima minit bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.