Penunggang motosikal maut digilis lori di Jambatan P. Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
September 19, 2019 21:15 MYT
September 19, 2019 21:15 MYT
Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal lain dan sebuah lori bermuatan bata dalam kejadian di kilometer 6.9 Jambatan Pulau Pinang mengahala ke George Town.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa, V. Winson, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah motosikal lain yang memotongnya di lorong paling kiri.
Katanya, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan ke kanan sebelum digilis sebuah lori yang ketika itu sedang bergerak perlahan di lorong kiri.
Katanya, mangsa terjatuh ke atas jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Che Zaimani berkata, siasatan lanjut pihaknya pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati motosikal mangsa dilanggar oleh motosikal lain yang terus meninggalkan lokasi kejadian.
Katanya kes ini adalah kes langgar lari dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Honda EX5
#Jambatan Pulau Pinang
#kemalangan motosikal
#langgar lari
#maut digilis lori
#Polis Daerah Timur Laut
#V Winson