Penunggang motosikal maut digilis beberapa kenderaan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 2, 2020 23:39 MYT
Mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan. - Foto ihsan PDRM
Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis apabila tercampak di tengah jalan sebelum digilis beberapa kenderaan di Kilometer 60.5 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Tol Pendang, malam tadi.
Mangsa, J Jocelyn Clare, 25, dikatakan menunggang motosikal Honda Wave dari arah Alor Setar dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam ketika lori treler tersebut berhenti kerana mengalami kerosakan kotak gear.
Jelasnya, akibat perlanggaran itu mangsa dipercayai tercampak ke tengah jalan sebelum digilis beberapa kenderaan lain.
Motosikal mangsa yang berada di tengah jalan turut dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki berusia 55 tahun.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Bagaimanapun pemandu lori treler berusia 48 tahun yang beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang dan pemandu MPV itu dari Damansara, Kuala Lumpur tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1986.
#Alor Setar #Hospital Sultanah Bahiyah #J Jocelyn Clare #Kepala Batas #maut digilis #penunggang motosikal maut #treler
;