Penunggang motosikal maut digilis bas

Sinar Harian
Jun 29, 2022 12:39 MYT
Seorang lelaki maut akibat digilis sebuah bas selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan, pada Selasa. -Foto PDRM
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut akibat digilis sebuah bas dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di kilometer (km) 6, Jalan Lapangan Terbang, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku jam 8.02 malam.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal melanggar tayar sebelah kanan sebuah jentolak lalu terjatuh di lokasi kejadian, berhadapan pusat beli belah Citta Mall.
"Mangsa seorang lelaki tempatan terlanggar tayar belakang sebuah jentolak menyebabkan mangsa jatuh lalu digilis oleh sebuah bas persiaran yang lalu tempat kejadian.
"Mangsa yang berusia 43 tahun disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan dialami," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Tambah Mohamad Fakhrudin, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 01132311232. -Sinar Harian
#penunggang motosikal maut #maut digilis bas #Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid #terlanggar tayar belakang jentolak
;