Seorang pemuda maut digilis kenderaan lain selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di KM460 Lebuhraya Utara-Selatan (NKVE) arah Bukit Lanjan pagi tadi.

Kejadian berlaku berdekatan jejambat kira kira jam 11.30 pagi tadi ketika hujan renyai.

Menurut laporan yang diterima Balai Polis Trafik Petaling Jaya, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Shakirin Misnan, 31 tahun, terbabas apabila bergesel dengan satu motosikal lain sebelum melanggar penghadang jalan.

Mangsa jatuh di laluan perlahan namun beberapa kenderaan lain yang melalui laluan itu tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.

Muhammad Shakirin, yang berasal dari Tanjung Malim, maut akibat cedera parah di badan dan kepala, dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, penunggang motosikal yang dikatakan bergesel dengan mangsa tiada di tempat kejadian ketika pihak berkuasa tiba di lokasi.