Penunggang motosikal maut di PLUS, orang ramai diminta tampil salur maklumat
Aida Aziz
April 16, 2024 06:10 MYT
April 16, 2024 06:10 MYT
TAIPING: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di KM 217.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, pihaknya menerima maklumat dari orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 7.20 pagi, hari sama.
"Kemalangan dipercayai berlaku membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 21 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari selatan menghala ke utara.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di lorong kiri.
"Kemudian, sebuah kenderaan yang tidak diketahui disyaki melanggar mangsa dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, Mohamad Nasir berkata, polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk tampil memberikan maklumat serta membantu siasatan.
Tambahnya, orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Abdul Mu’iz Riduan di talian 011-20987354.