Penunggang motosikal maut dalam kemalangan tiga kenderaan
Amirul Aiman
Februari 28, 2025 11:00 MYT
Februari 28, 2025 11:00 MYT
Nahas jalan raya melibatkan tiga kenderaan berlaku di Persiaran Jenjarum, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, malam tadi, mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Persiaran Jenjarum, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim, kejadian berlaku sekitar jam 8.40 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah kilang.
"Kejadian melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dalam perjalanan dari tempat kerja iaitu kilang, menghala balik ke rumah.
“Semasa sampai di persimpangan Persiaran Jenjarum, sebuah kereta melintas secara tiba-tiba di hadapannya, menyebabkan motosikal tersebut hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Faizal, setakat ini, polis tiada maklumat mengenai nombor pendaftaran kereta terbabit.
Tambahnya, mangsa yang berusia 46 tahun terjatuh dari motosikal dan dilanggar sebuah motosikal lain, serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.
Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan punca kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 011-33293547.