Penunggang motosikal maut bergesel treler
Sinar Harian
Februari 24, 2023 08:00 MYT
Februari 24, 2023 08:00 MYT
TAPAH: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 62 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini pada Khamis.
Dalam kemalangan sekitar 4.30 petang itu, Mohamed Suhimi Abd Kadir, 60, menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian, terdapat treler muatan serbuk kimia cuba keluar dari simpang untuk menuju ke arah sama.
"Keadaan itu mengakibatkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar sisi kiri kenderaan berat tersebut.
"Mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan.
"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian