Penunggang motosikal cedera parah tercampak dalam gaung
Sinar Harian
Oktober 19, 2022 08:10 MYT
Oktober 19, 2022 08:10 MYT
HULU LANGAT: Seorang lelaki dan wanita tempatan cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Axia di Jalan Hulu Langat di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Wave terbabit tercampak ke dalam gaung setinggi 6 meter manakala pembonceng terjatuh di atas jalan raya.
"Sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba Ampang dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 tengah hari.
"Anggota bertugas bertindak turun ke bawah membawa pengusung dan peralatan kecemasan dan memberi rawatan awal kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Norazam berkata, mangsa yang tercampak berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan manakala kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. -Sinar Harian