Penunggang motosikal cedera dilanggar lori tentera

Sinar Harian
Februari 15, 2023 06:15 MYT
Seorang penunggang motosikal cedera apabila terlibat dalam nahas dengan sebuah lori ATM dan sebuah kereta di KM14, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada Rabu. -Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal cedera apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah kereta di Kilometer (KM) 14, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian yang berlaku sekitar 9.50 pagi itu dipercayai berpunca akibat pemandu lori tentera berkenaan hilang kawalan dan terbabas sehingga masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan lori tentera jenis Hicom dari arah pusat bandar menuju ke Kota Tingi itu telah melanggar Toyota Camry serta sebuah motosikal jenis SYM.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuka kertas siasatan berhubung kemalangan berkenaan," katanya pada Rabu.
Untuk rekod, penunggang motosikal berkenaan kini dirawat di zon kuning Hospital Sultan Ismail manakala tiga mangsa lain melibatkan pemandu lori selain pemandu dan penumpang kereta Toyota Camry, tidak mengalami kecederaan.
Kesemua kenderaan terlibat kemalangan tersebut mengalami kerosakan dan kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan orang ramai yang melihat kemalangan berkenaan diminta tampil ke Balai Johor Bahru Selatan bagi memberikan keterangan atau menghubungi Inspektor Nurul Hafiza di talian 014-8068350. -Sinar Harian
#Angkatan Tentera Malaysia #Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi #penunggang motosikal #lori ATM
;