Penunggang motosikal cedera dalam kejadian pokok tumbang

Bernama
Jun 1, 2024 07:25 MYT
Anggota bomba memotong pokok sena yang tumbang merintangi jalan raya dan mengakibatkan sebatang tiang elektrik jatuh menghempap kereta di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir, Melaka semalam. - Foto JBPM Melaka
MELAKA: Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di lengan selepas terkena kabel wayar yang jatuh akibat pokok tumbang di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini semalam.
Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hazalani Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.40 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian terdapat sebatang pokok sena telah tumbang merintangi jalan raya dan satu tiang elektrik menghempap kereta jenis Proton Saga.
"Mangsa berusia 40 tahun cedera terlanggar kabel wayar yang jatuh dan diberikan bantuan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lagi mangsa dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya kerja-kerja memotong pokok dilakukan oleh pasukan bomba.
-- BERNAMA
#Pokok tumbang #JBPM Melaka #tiang elektrik hempap kereta #penunggang motosikal cedera
;