Penunggang motosikal catat kemalangan maut tertinggi di Selangor
Sinar Harian
Februari 6, 2022 05:00 MYT
Februari 6, 2022 05:00 MYT
PETALING JAYA: Penunggang motosikal mencatat peratusan tertinggi kemalangan maut di Selangor sepanjang 10 hari Op Selamat Tahun Baharu Cina 2022 yang berakhir pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, jumlah kemalangan maut pada Op Selamat tahun ini melibatkan sebanyak 18 kes.
"Kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dikesan tertinggi iaitu sebanyak 17 kes dan satu kes lagi melibatkan pejalan kaki.
"Jumlah kemalangan keseluruhan bagi Selangor mencatatkan sebanyak 2,581 kes pada tahun ini," katanya pada Sinar Harian selepas melakukan tinjauan udara di lebuh raya di sekitar negeri ini pada Ahad.
Katanya, siasatan pihaknya mendapati antara faktor berlakunya kemalangan maut melibatkan pelanggaran peraturan jalan raya.
"Kebanyakan kes melibatkan kemalangan maut ini adalah disebabkan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
"Dalam masa sama, terdapat kes kemalangan maut melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah dan lain-lain kesalahan," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian.