Penunggang motosikal bawah pengaruh dadah maut terbabas
Vivi Sumanti
September 29, 2022 13:21 MYT
September 29, 2022 13:21 MYT
KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal yang dipercayai berada bawah pengaruh dadah maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa yang maut merupakan seorang penganggur berusia 39 tahun.
"Kemalangan berlaku sekitar jam 2.40 petang semalam ketika mangsa menunggang motosikal sendirian dari arah Ketereh ke persimpangan lampu isyarat Padang Enggang, Kota Bharu melalui Lebuhraya Ketereh.
"Tiba di kilometer 10.1, mangsa gagal mengawal motosikalnya menyebabkan terbabas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mangsa juga, kata Mohd Rosdi, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau turut memaklumkan, hasil ujian urin mendapati mangsa positif Amphetamine, Phencyclidine dan Ketamine.
Menurut Mohd Rosdi lagi, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dipercayai berada dalam keadaan khayal ketika menunggang motosikal.