Penunggang motorsikal maut dirempuh van suspek penjenayah
Aizat Sharif
Februari 28, 2013 06:00 MYT
Februari 28, 2013 06:00 MYT
Seorang warga emas maut, manakala anaknya cedera parah apabila motorsikal yang ditunggangi mereka dirempuh dari arah bertentangan oleh sebuah van yang dipandu oleh seorang suspek penjenayah yang dalam cubaan meloloskan diri dari ditahan polis di Rawang.
Mangsa, M.Ramanayah, 58 dari Batu 20, Rawang mati serta-merta di tempat kejadian sementara anaknya R.Mariammah, 36 yang membonceng motorsikal itu cedera parah dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan berkata yang kejadian berlaku pada jam 11.45 pagi itu bermula apabila polis meronda yang membuat rondaan sekitar Jalan Kuala Lumpur-Rawang ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah van yang diletakkan di bahu jalan itu.
“Van itu diletakkan berhampiran Pasaraya NSK di Selayang dan apabila polis menghampiri lelaki itu, dia telah menurunkan sedikit sahaja cermin sisi kenderaannya itu sebelum memecut meninggalkan tempat itu,” kata Thaiveegan.
Suspek kemudian memasuki laluan susur masuk Lebuhraya Selayang-Kepong sebelum memasuki Bandar Baru Selayang dan adegan kejar-mengejar itu berlarutan sehingga enam kilometer berikutnya.
“Suspek yang memandu secara melulu dan berbahaya bertindak memasuki semula laluan bertentangan Jalan Kuala Lumpur-Rawang dan tindakkanya itu menyebabkan pengguna jalanraya terpaksa mengelak dari dirempuh oleh van yang dipandu suspek itu,” kata beliau.
Malangnya, suspek telah melanggar dua motorsikal dan sebuah kereta Perodua Viva dan menyebabkan penunggang motorsikan dan pemandu kereta itu cedera.
Ramanayah dan anaknya yang kebetulan melalui laluan itu untuk ke ibukota ketika itu gagal mengelak dan dirempuh oleh van suspek.
“Rempuhan itu telah menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke tepi longkang sebelah laluan KM 19 dan 21 Jalan Kuala Lumpur-Rawang berhampiran Tama Rimba Templer dan sekaligus berjaya memberhentikan kenderaan suspek,” kata Thaiveegan lagi.
Suspek cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran namun berjaya ditahan polis.
Ramanayah yang cedera di kepala,muka dan badan mati serta-merta di tempat kejadian manakala Mariammah di bawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan selanjutnya.
Mangsa rempuhan yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Siasatan polis mendapati suspek berusia 28 tahun dari Raub, Pahang itu berada dibawah pengaruh dadah ketika insiden berlaku dan melalui semakan polis, dia memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes pergaduhan dan curi.
“Ketika ditahan, suspek tidak memiliki kad pengenalan sebaliknya menggunakan kad pengenalan milik abangnya, selain melarikan van milik bapa saudaranya,” kata Thaiveegan.
Turut ditemui sebilah pisau lipat dalm poket seluarnya yang dipercayai mahu digunakan untuk tujuan jenayah.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk membantu siasatan.
Thaiveegan turut meminta kerjasama orang ramai, terutama saksi kejadian untuk menghubungi talian Rakan Cop Polis Selangor (03-20529999) bagi membantu siasatan.